أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَرَصَتْ نَمْلَةٌ نَبِيًّا مِنْ الْأَنْبِيَاءِ فَأَمَرَ بِقَرْيَةِ النَّمْلِ فَأُحْرِقَتْ فَأَوْحَى اللَّهُ إِلَيْهِ أَنْ قَرَصَتْكَ نَمْلَةٌ أَحْرَقْتَ أُمَّةً مِنْ الْأُمَمِ تُسَبِّحُ
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seekor semut menyengat salah seorang Nabi. Nabi itupun menyuruh mencari sarang semut itu lalu dibakar. Allah lalu menurunkan wahyu kepada Nabi itu: “Sesungguhnya hanya seekor semut yang menyengat engkau dan engkau bakar salah satu umat yang bertasbih kepada Tuhan!” Riwayat Bukhari
Walaupun yang dianiaya itu hanyalah seekor semut yang kecil pada pandangan manusia tetapi ia tetap salah satu ciptaan tuhan yang Maha Agung, bukan sahaja semut akan tetapi semua makhluk tuhan lain juga begitu. Mereka yang mengerti akan hakikat penciptaan dengan sebenar-benarnya (sifat ini biasanya dimiliki oleh para kekasih Allah iaitu orang-orang yang arif), mereka akan lebih mengasihi dan menghargai semua ciptaan Allah berbanding dengan orang lain.
Disebutkan bahawa Allah mewahyukan kepada Nabi Musa as.: Tahukah Kamu mengapakah Aku mengangkat engkau sebagai Nabi yang terus mendengar kalamKu? Jawab Musa: Engkau yang lebih mengetahui. Bersabda Tuhan: Ketika Aku larikan semua kambing Nabi Syuaib yang kau pelihara itu, sehingga dengan susah payah engkau mengejar kambing-kambing itu untuk mengembalikannya, tetapi kemudian setelah kembali semuanya engkau tidak merasa jengkel marah, maka itulah sebabnya.
Dalam Hadith lain diceritakan, seorang pelacur yang memberi minum kepada anjing, tiba-tiba Allah bersyukur kepadanya dan mengampunkan semua dosanya. Demikianlah kehormatan dari kurnia-kurnia besar dari Allah itu, tidak dapat dicapai oleh manusia, dan selalu diberikan oleh Allah secara tiba-tiba, supaya tidak ada orang berbangga dengan amal perbuatannya.
Kasihani lah dirimu dan semua makhluk tuhan disekeliling mu, semuga Allah mengasihimu dan membuka bagimu jalan bagi mengetahui pelbagai rahsia penciptaan dan kehidupan. Tidak dibukakan oleh Allah melainkan kepada mereka yang sangat beruntung di dunia dan akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan