Minggu pertama telah selesai 3 rawatan Radioterapi; semua proses rawatan hanya mengambil masa selama 10-30 minit. Tak lama; tapi setiap sesi rawatan merupakan satu pengalaman yg agak `mendebarkan'. Setiap kali selesai rawatan, saya pasti menangis. Sehinggakan staff MMCH ketawakan saya. Terus terang saya katakan; saya memang takut. Terlalu banyak berfikir dan terlalu banyak persoalan yg bermain di minda. apakah implikasi rawatan radioterapi yg bakal saya hadapi? Sakit? kulit terbakar atau melecur? Muntah? cirit-birit .... huuuh penat sungguh melayan perasaan!
Berbekalkan wirid zikrullah ayat-ayat syifa'; selain memperbanyakkan Al-Fatihah & selawat : itulah `kekuatan' saya sebaik melangkah masuk ke Hospital Mount Miriam. Saya percaya saya tidak `berkeseorangan'. ALLAH SWT sentiasa bersama saya. ALLAH pasti mendengar setiap rintihan dan doa saya, saya pecaya ALLAH Maha Adil; Maha Kasih Sayang. ALLAH SWT telah menentukan taqdir dan saya perlu `melaluinya' dengan yaqin & redho'.
وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ
"Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku." (Surah Asy-Syu'ara : Ayat 80)
Sebagai pesakit kanser yg baru sebulan menjalani pembedahan; malah saya pula baru 7 minggu `mengetahui' tentang penyakit yg dihidapi, saya punya emosi yang agak kurang stabil. Bukan mudah untuk saya menghadapi kenyataan dan melalui kehidupan dengan perubahan yang sebegitu drastik. Segala-galanya berubah. Pemakanan, perubatan, malah saya sudah 2 bulan `tidak bekerja' , aktiviti terhad, pergerakan yang terbatas, sudah terbiasa cergas dan aktif, tapi kini tumpuan diberikan hanya untuk segera sembuh dan memastikan agar sel kanser tidak kembali menyerang.
Memanglah sedih. Kita hanyalah manusia biasa. Pabila ditimpa dengan ujian sebegini, kita akan menangis, terlalu banyak berfikir tentang pelbagai kebarangkalian. Ada kalanya kita ingin berkongsi rasa, tapi kita tidak tahu kepada siapa harus kita luahkan. Malah ada juga pesakit yang terus menjadi murung; dan hilang keyakinan & semangat berjuang untuk melawan penyakit sebegini.
Selain dari berdoa, dan memperbanyakkan solat sunat, Sokongan & bantuan keluarga serta rakan taulan sangat penting. Alhamdulillah Saya berterima kasih kerana adik saya Siti Safinaz & suaminya yg menetap di Pulau Pinang; sentiasa menghantar & menemankan saya pada setiap kali sesi rawatan radioterapi. Mereka menjaga saya dengan baik dan sepanjang tempoh rawatan saya menumpang di rumah mereka di Padang Tembak.
Sahabat yg baik itu anugerah ALLAH SWT, bersama ketika suka & duka |
Tq dear for being around when i need u! Syukur ..............
Ramai juga rakan taulan yg jauh & dekat; rakan persekolah sewaktu di SEMSAS & ITM Arau; yg bertelefon dan sudi menjengah saya di rumah. Itulah Rahmat & pertolongan dari ALLAH SWT. Mereka hadir di saat saya bersedih dan dalam penuh kebingungan.
Apabila sakit saya `terpaksa' berehat di rumah; ianya membuka ruang untuk saya bermuhassabah diri. Merenung & memikirkan segala nikmat ALLAH SWT yg telah dan sedang saya miliki. ALLAH SWT beri saya sakit; tapi ALLAH permudahkan segala urusan pembedahan & rawatan saya. Malah saya dirawat oleh pakar terbaik dalam kadar waktu yang segera. Saya tidak perlu menunggu giliran yang panjang; malah kos perubatan saya sangat minima dan tidak membebankan.
Sebaik mengetahui tentang Penyakit Kanser saya; ALLAH menjemput saya & keluarga menjadi tetamuNYA. Diizinkan kami mengerjakan umrah & tawaf sunat dalam keadaan selesa dan sihat. Malah saya berkesempatan mengucup Hajaratul Aswad & berkali2 berpeluang berdoa di `Multazam & bersolat di Hijir Ismail'. Allahuakbar; bukankah ini tandanya ALLAH sangat kasihkan saya hambaNYA yg sangat dhoif & lemah?
Ya ALLAH banyaknya nikmatMU yang Engkau beri padaku. Kenapa perlu aku mengeluh dengan sedikit ujian yg Engkau berikan kepadaku. Aku malu Ya ALLAH; kerana selalu meminta-minta sedangkan apa yg KAU pinta aku selalu remehkan.
Pada usia 43 tahun; saya telah dua kali dijemput mengerjakan Umrah dan telah pun menunaikan ibadah Haji. Saya telah bekerja semenjak umur 21 tahun; Hari ini saya baru `direhatkan' selama 2 bulan. Saya berpeluang untuk memperbaiki ibadah saya. Bangun untuk bertahajjud sudah tidak menjadi satu kesukaran, membaca Yassin pagi & mlm menjadi begitu mudah & indah. Zikir & wirid diamalkan setiap saat yang terluang. Malah buku kecil wirid `Al-Ma'thurat & Manzil' yg dihadiahkan oleh sahabat saya Wan Nor Zaharah 2 Tahun yg lalu; baru kini menjadi amalan bacaan setiap pagi & petang. Ya ALLAH banyaknya masa `SIHAT' saya yang terbuang dan telah saya sia-sia kan selama ini. Terlalu sibuk dengan urusan dunia; bekerja menjaga amanah manusia sehinggakan saya lalai & leka menjaga amanah ALLAH SWT. Sesungguhnya `musibah' ini merupakan `ujian yang penuh hikmahNYA'
Umrah 30th Mac - 12th April 2012 |
Janji Allah dalam sabda Rasulullah saw,
“Tiada seorang Muslim pun yang ditimpa sesuatu yang menyakitkan berupa penyakit atau lainnya, melainkan kerananya Allah akan menghapuskan keburukan-keburukannya sebagaimana pohon yang menggugurkan daun-daunnya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan