20 September 2009

Seronoknya Raya


Salam


Hari Raya pasti datang lagi. Selepas sebulan berhempas pulas menahan diri kerana berpuasa, maka kini 1 Syawal menjelma.


Ramadhan yang telah berlalu pasti membawa beribu pengertian tentang tanggungjawab sebagai umat Islam. Selain dari menuruti amalan yang terdahulu, seharusnya ibadah berpuasa dilakukan dengan penuh tawadhok dan keinsafan.


Alhamdulillah bagi diri saya dan keluarga, selain dari sibuk menguruskan kedai Arisya Home Bakery yang secara tradisi sibuk melayani tempahan Biskut Raya, tahun ini dapat juga saya meluangkan masa mengerjakan sembahyang Terawikh di masjid berdekatan.


Kalau dulu terlalu sibuk kerana memenuhi pelbagai pesanan biskut raya, alhamdulillah tahun ini ALLAH melapangkan jiwa saya agar dapat menguruskan masa dan perniagaan dengan bantuan pekerja.



Saya sangat bersyukur kerana walaupun permintaan tempahan agak berkurangan berbanding tahun-tahun yang lalu, tetapi jualan di kedai telah meningkat. Menyedari kedudukan lokasi premis perniagaan saya yang jauh dari pusat bandar Alor Setar dan tidak dikelilingi oleh gedung-gedung perniagaan yang hebat-hebat, tetapi ianya tetap menjadi destinasi persinggahan khususnya pelanggan tetap dan penduduk berdekatan dengan kawasan Mergong dan terus menyokong produk keluaran ARISYA HOME COOKIES.


Terlalu banyak nikmat hidup yang telah saya kecapi dan saya merasa amat diRahmati kerana ALLAH tak pernah `lupa' kepada saya - hambaNYA. ALLAH kurniakan rezeki yang halal untuk saya dan keluarga dan menjadi tanggungjawab kita untuk menjalankan tanggungjawab kita demi memenuhi tuntutanNYA.


Dalam Rukun Islam, kita diwajibkan sembahyang lima waktu sebagai tanda syukur terhadap segala kurniaNYA. Rasa syukur seharusnya dizahirkan bukan sahaja melalui lisan (ucapan Alhamdulillah) tetapi seharusnya dilahirkan melalui perbuatan - sembahyang.


Senjata umat Islam itu Doa. Doa itu adalah Solat. Usaha dan berdoa, insyaallah akan diberkati.


Keseronokan mengerjakan ibadah Terawikh walaupun sunat ianya membolehkan saya mengunjungi rumah ALLAH - Masjid. Bersembahyang di Masjid sudah pasti kita akan bersembahyang secara jemaah. Dan fadhilat sembahyang jemaah itu sangat besar. Walaupun `jemaah wanita' tidak digalakkan bersembahyang di masjid kerana takut menimbulkan fitnah, tetapi dunia pada hari ini dengan adanya lampu yang mencukupi dan suasana hidup yang aman dan selamat, apa lah salahnya untuk kita bersama mengimarahkan Masjid bagi mengerjakan sembahyang secara berjemaah.


Selamat Hari Raya Aidil fitri maaf zahir dan batin

zue

Tiada ulasan:

ADAKAH GULA MENYEBABKAN KANSER ?

Salam .. hari ini saya nak kongsikan catatan blog  yang ditulis oleh (my gynae-onco) YBhg. Dato Dr  Rushdan Noor   Pakar Kanser Wanita da...