18 Mei 2017

zuraini kongsi rahsia `bebas kanser'


KEHIDUPAN manusia di dunia ini pastinya akan melalui pelbagai keadaan. Ada masa senang dan adakalanya sukar. Ada saatnya sihat dan ada masa akan jatuh sakit. Dan semua hal tersebut adalah sunnatullah yang terpaksa kita hadapi.
Namun sebagai umat Islam kita juga harus percaya, tidaklah Allah menciptakan suatu penyakit kecuali dia juga menciptakan penawarnya. Hal ini sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW:
“Tidaklah Allah menurunkan penyakit kecuali Dia juga menurunkan penawarnya.” (HR Bukhari).

2012  saya adalah cancer survivor
Tarikh 5 Mac 2012 menjadi tarikh yang akan sentiasa dikenang Zuraini Kamal, ibu kepada tiga cahaya mata ni apabila dia didiagnos menghidap kanser endometrium (dinding rahim) peringkat awal jenis G3 iaitu sel kanser bersifat agresif!
Dalam kepala dia cuma terfikir masih belum bersedia untuk memejamkan mata buat selamanya. Wanita ini juga sedar dia masih punya banyak tanggungjawab dan terlalu sedikit amalannya sebagai bekalan menuju alam abadi!
Namun dia sedar bahawa dia masih ada pilihan sama ada berjuang untuk hidup atau mahu berserah menunggu mati!
Ketika itu baru dia sedar bahawa iman yang dimiliki cuma senipis kulit bawang dan kekuatannya terbang entah ke mana.
Tiga bulan lamanya dia tidak ketawa dan hampir lupa untuk tersenyum. Sehingga terpaksa mendapatkan bantuan  perubatan untuk membantu kekuatan emosi dan mengelakkan  kemurungan dan akhirnya mentalnya kembali kuat.
“Alhamdulilah selepas pembedahan saya pulih dengan begitu pantas kerana menurut doktor saya memiliki mental yang positif.
“Tidak sampai sebulan selepas pembedahan saya sudah boleh memandu dari Jitra ke Sungai Petani.
“Sebagai pesakit kanser, paling utama kekuatan mental dan spiritual selain kekuatan fizikal. Ubat dan rawatan adalah bantuan dan jika tubuh kita tidak bersedia, pemulihan lambat berlaku.
Tambahnya lagi, prosedur radioterapi tidaklah seteruk yang digambarkan.
“Ketakutan dan kebimbangan yang keterlaluan sebenarnya yang menyebabkan kita hilang selera makan, kurang tidur dan adakalanya muntah-muntah dan cirit-birit.
“Saya ingin katakan ia bukan sekadar simptom radioterapi sebaliknya kecelaruan emosi. Jadi penting untuk kita untuk memiliki mental yang benar-benar kuat, ujarnya yang turut menjalani radioterapi sebanyak 25 kali.

Terlalu pentingkan kesempurnaan
 Saya akui diri ini seorang yang terlalu mementingkan kesempurnaan dalam pekerjaan. Saya tidak suka dan jarang sekali melakukan kesilapan. Saya terlalu kuat berkerja hinggakan saat tidur pun saya boleh lagi berfikir.
“Saya paling suka mencabar diri dan hidup saya sentiasa dalam keadaan stres yang sangat tinggi.
“Prestasi kerja saya sangat bagus bila saya push diri saya ke tahap maksimum. Namun saat jatuh sakit baru saya sedar tindakan saya selama ini adalah salah.
aku ingin hidup: meraikan majlis perkahwinan anaknda yg sulong November 2015

“Kita tidak boleh terlalu memaksa diri hingga biarkan tubuh kita stres.
“Selepas didiagnos kanser saya belajar untuk cool down, semuanya dilakukan secara teratur. Bercakap juga kena perlahan-lahan dan amalkan pernafasan yang betul. Itulah yang dinamakan gaya hidup sihat. Semua tu nabi kita dah pesan tapi kita tidak mahu ikut.
“Saya juga penggemar makanan bergula terutamanya kek, coklat dan aiskrim dan kebetulan saya juga seorang pengusaha kek. Malahan sejak kecil juga saya penggila gula-gula kapas. Saya juga peminum teh o tegar.
“Mungkin faktor-faktor tersebut iaitu stres terutamanya ditambah pula faktor genetik menjadi penyumbang kepada punca saya menghidap penyakit ini.
“Lepas didiagnos kanser, saya kurangkan makanan bergula bukan saja sebab takutkan kanser tetapi takut dihinggapi diabetes.
“Saya tidak lagi ambil teh o sebaliknya saya gantikan dengan teh hijau.
“Mengikut pengalaman saya, teh hijau memberi efek penenang tanpa kita perlu bergantung pada ubat penenang dan sebagainya. Sebagai pesakit kanser, tidak dinafikan kadar stres berada dalam tahap tinggi. Prosedur hospital, follow up dan pelbagai rutin lagi buatkan kita semakin tertekan,”ujarnya.
bersama meraikan Larian Kanser anjuran Jabatan Gynae Onkologi Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar
Tingkatkan pengambilan vitamin C
 “Sejujurnya saya mula ubah diet dengan mengelakkan makanan yang mengandungi growth factor dan mementingkan pengambilan antioksida seperti buah beri. Ini kerana kanser sukar membiak dalam persekitaran tersebut.
“Saya memastikan makanan yang masuk ke mulut adalah makanan yang dimasak sendiri menggunakan bahan segar yang telah dinyahtoksik selain menggunakan bahan-bahan organik dan garam bukit.
Begitu juga dengan pengambilan vitamin C turut ditingkatkan bagi membantu meningkatkan imuniti.
“Sebagai pesakit kanser endometrium doktor menasihatkan untuk mengelakkan terus makanan berassakan soya kerana ia berisiko meningkatkan kanser payudara.
“Saya masih makan daging tapi dalam kuantiti yang sangat kecil. Hinggakan semasa pergi kenduri, kerana terlalu teringin, saya cuma kunyah dan membuangnya.
“Tolong ubah stigma yang melekat dalam masyarakat iaitu kanser membawa maut,”tegasnya yang turut mengamalkan minum air zam-zam dan juga air beralkali.
grup Cancer Survivors Malaysia sebuah wadah kumpulan sokongan alam maya
NOTA
* Puan Zuraini kini  bebas kanser dan kembali menjalani kehidupan normal. Beliau aktif menulis dan berkongsi pengalaman serta memberikan panduan dan nasihat dalam blog beliau di tinta-zue.blogspot.com. Beliau juga telah menubuhkan sebuah kumpulan sokongan alam maya Cancer Survivors (Malaysia), sebuah wadah khusus untuk pesakit kanser dan penjaga berkongsi pengalaman sebenar  serta ruang untuk meluahkan emosi kepada rakan senasib.

Tiada ulasan:

ADAKAH GULA MENYEBABKAN KANSER ?

Salam .. hari ini saya nak kongsikan catatan blog  yang ditulis oleh (my gynae-onco) YBhg. Dato Dr  Rushdan Noor   Pakar Kanser Wanita da...