09 Mei 2016

KEPERLUAN MAKANAN PESAKIT KANSER: APAKAH PERLU BERPANTANG

Dato’ Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD.MOG(UKM),FGO(S’pore),AM
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Jabatan O&G, Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah DA.

ASAS NUTRISI

Setiap makhluk di dunia ini memerlukan makanan untuk hidup. Di dalam istilah sains, perkataan nutritisi sering digunakan, apakah ertinya nutrisi. Nutrisi adalah pengambilan dan penggunaan bahan makanan (Practise of consuming and utilizing foods). Sains nutrisi (nutritional science) adalah kajian mengenai bagaimana badan memecahkan makanan dan bagaimana badan bertindakbalas terhadap makanan yang dipecahkan ini termasuk apakah yang berlaku kepada elemen2 yang terdapat di dalam makanan ini apabila ianya masuk ke aliran darah dan bertindak di sel-sel. Ini termasuk peranan bahan2 nutrisi tadi ke atas metabolisma dan proses fisiologi badan seseorang manusia. Makanan yang anda ambil perlu mengandungi bahan2 nutrisi yang seimbang seperti karbohidrat, protin, lemak, vitamin, mineral dan air. Setiap unsur2 nutrisi ini mempunyai peranan yang sangat khusus ke atas badan anda. Ada di antaranya boleh dihasilkan oleh badan dan ada juga yang hanya boleh diperolehi dari makanan. Anda perlu mengambil makanan untuk membesar dengan sempurna, untuk fungsi sistem pembiakan yang normal, makanan juga perlu untuk memberi tenaga fizikal dan juga tenaga minda anda.  Sebahagian dari unsur2 nutrisi di dalam makanan anda sangat perlu untuk tujuan fungsi organ yang normal. Tidak kurang pentingnya adalah makanan yang anda makan perlu untuk memberi kekuatan kepada badan melawan penyakit dan mencegah dari menghidap penyakit berjangkit, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes, kanser dan lain-lain

Anda perlu mengambil makanan kerana anda berkehendakkan bahan-bahan nutrisi yang terdapat di dalamnya. Bahan-bahan nutrisi ini dikenali sebagai nutrin (nutrient). Nutrin adalah sumber kesihatan dan kesuburan yang terdapat di dalam makanan. Terdapat dua jenis nutrin yang diperlukan oleh badan iaitu :

A. MAKRONUTRIN (Macronutrients) yang terdiri dari Protin, Karbohidrat, dan Lemak. Manusia memerlukan makronutrin pada kadar yang banyak. Air dan serat juga dikategorikan sebagai makronutrin tetapi mereka tidak menghasilkan  tenaga.

B. MIKRONUTRIN (Micronutrients) yang terdiri dari vitamin dan bahan mineral yang diperlukan dalam kuantiti yang sedikit tetapi sangat penting.

NUTRISI DAN PESAKIT KANSER

Semua pesakit kanser yang mengikuti rawatan akan melalui fasa rawatan dan selepas rawatan. Rawatan kanser terbahagi kepada rawatan pembedahan, kemoterapi dan radioterapi. Terdapat juga pesakit yang menerima rawatan hormon dan targeted therapy. Pesakit kanser perlu menjalani salah satu ataupun kombinasi daripada kaedah rawatan ini bergantung kepada jenis dan tahap kanser yang mereka alami. Di dalam melawan penyakit kanser, kaedah-kaedah rawatan ini sebenarnya boleh dianggap sebagai bantuan tambahan kepada badan seseorang. Kanser membesar dan merebak kerana tubuh seseorang tidak mampu untuk melawan dan salah satu sistem badan yang berfungsi melawan kanser adalah sistem pertahanan ataupun sistem imun. Banyak faktor yang mempengaruhi kekuatan sistem imun seseorang termasuk faktor genetik, nutrisi dan juga unsur psikologi. Jadi untuk membantu meningkatkan keberkesanan rawatan kanser, pesakit juga perlu mencari jalan bagaimana dapat meningkatkan keupayaan diri sendiri untuk melawan kanser.

Sebenarnya sel-sel kanser berasal daripada sel-sel badan yang normal tetapi disebabkan oleh faktor kerosakan DNA yang mengawal pembiakan sel, sel-sel normal ini bertukar menjadi sel kanser dan membiak di luar kawalan badan. Memandangkan sel kanser asalnya dari sel-sel badan pesakit itu sendiri maka apabila rawatan kanser diberikan untuk memusnahkan sel-sel ini, kesan rawatan terhadap sel-sel yang normal seringkali tidak dapat dielakkan. Akibatnya pesakit kanser akan mengalami kesan sampingan yang berkaitan dengan kecederaan yang dialami oleh sel-sel yang normal. Di antara kesan sampingan rawatan kanser terutamanya kemoterapi adalah ulcer di mulut, loya, muntah, cirit, kekurangan sel darah merah, kekurangan sel darah putih, keguguran rambut dan keletihan. Walau bagaimanapun kaedah rawatan kanser moden yang diberikan pada hari ini akan memastikan bahawa sel-sel normal yang tercedera ini akan pulih seperti sediakala melalui kaedah pemberian ubat pencegahan sebelum rawatan diberikan, menjarakkan rawatan dan juga memberi ubat-ubatan tertentu selepas selesai setiap kitaran rawatan. Di samping kaedah pencegahan yang disebutkan di atas, pemulihan badan dari kesan rawatan juga bergantung kepada tahap nutrisi pesakit kanser kerana proses pemulihan memerlukan cukup bahan nutrisi yang terdiri daripada makronutrin dan mikronutrin. Sebab itulah pesakit kanser yang menerima rawatan kemoterapi pada hari ini ramai yang tidak menghadapi masalah yang serius malah ada yang tidak langsung mengalami apa-apa gejala yang disebutkan di atas.

Dengan penjelasan di atas, jelaslah betapa pentingnya nutrisi kepada pesakit kanser samada semasa menerima rawatan ataupun selepas menerima rawatan. Mengambil makanan yang betul sebelum, semasa dan selepas rawatan kanser membuat pesakit merasa lebih baik dan bertenaga.



MANAFAAT NUTRISI KEPADA PESAKIT KANSER

Seperti yang telah saya sebutkan tadi, nutrisi adalah penting untuk meningkatkan kekuatan badan akibat dari kesan penyakit kanser dan juga kesan sampingan dari rawatan kanser yang diberikan. Jenis makanan dan nutrisi yang diperlukan oleh pesakit kanser bergantung kepada jenis rawatan, tahap kesihatan dan juga tahap nutirisi badan yang sedia ada. Jadi keperluan jenis makanan dan nutrin ini berbeza dari seorang dengan seorang yang lain. Apa yang penting adalah pesakit mendapatkan khidmat nasihat dari pakar kanser yang merawat dan juga pakar pemakanan ataupun pakar dietetik. Pesakit tidak boleh memandai-mandai di dalam memilih makanan ataupun mendengar nasihat orang lain yang bukan pakar di dalam bidang ini.

Maksud mengambil makanan yang seimbang dan tabiat makan yang baik adalah memakan makanan yang mengandungi cukup kandungan makronutrin seperti protin, karbohidrat, lemak, air serta serat dan juga mengambil cukup mikronutrin iaitu mineral dan vitamins. Kesemua nutrin-nutrin ini boleh diperolehi dari makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran. Tabiat makan yang baik termasuk memilih makanan yang bersih, mengurangkan pengambilan makanan yang diproses, makanan tidak terlalu berminyak, makanan yang tidak terlalu pedas, mengambil air yang mencukupi, tidak mengandungi lemak tepu yang tinggi serta mengikut had kalori yang disyorkan dalam sehari. Pesakit tidak perlu untuk mendapatkannya dari produk-produk suplemen yang dijual samada dalam bentuk pil,kapsul, jus ataupun lain-lain. Pengambilan nutrin, mineral dan air mungkin perlu ditambah jika mengalami muntah dan cirit birit.  Apa yang penting adalah pesakit mendapat nasihat dari pakar kanser dan pakar pemakanan/dietetik yang boleh ditemui di semua pusat-pusat rawatan kanser dan hospital.

Salah satu manfaat yang diberikan oleh pengambilan nutrin yang mencukupi adalah ia boleh meningkatkan keberkesanan pesakit melawan kanser dan mungkin dapat sembuh ataupun peluang untuk hidup lebih panjang. 

Terdapat beberapa faktor mengapa pengambilan nutrin yang mencukupi dapat meningkatkan keberkesanan melawan kanser dan memperbaiki mutu hidup seseorang pesakit kanser, di antaranya adalah:

1. Sistem pertahanan badan akan menjadi lebih kuat dan mampu untuk melawan pembiakan sel-sel kanser

2. Apabila mengambil cukup nutrin, badan lebih bersedia untuk menjalani rawatan samada rawatan pembedahan, kemoterapi ataupun radioterapi

3. Apabila tubuh badan lebih bersedia untuk menjalani rawatan, maka pesakit menghadapi kesan sampingan yang lebih ringan dan mampu untuk menamatkan rawatan kanser.

4. Pesakit kanser yang tidak bersedia ataupun mengalami kesan sampingan yang serius dari rawatan kanser terpaksa berhenti menerima rawatan tersebut untuk sementara waktu sehingga jadual rawatan menjadi tergendala dan terdapat jangkamasa di mana pesakit kanser tidak menerima rawatan. Jangkamasa tidak dirawat ini akan memberi peluang kepada sel-sel kanser untuk terus membiak. Ini akan menjejaskan keberkesanan rawatan kanser. Kesan membiarkan jangkamasa yang panjang untuk  tidak menerima rawatan ini juga akan menyebabkan pesakit mengalami rintangan ubat kemoterapi (chemotherapy resistant). Rintangan ubat kemoterapi ini adalah salah satu punca rawatan kemoterapi menjadi tidak berkesan.

5. Pengambilan protin yang mencukupi akan mempercepatkan proses pemulihan sel dan tisu akibat dari pembedahan, kemoterapi ataupun radioterapi.

6. Pengambilan protin, karbohidrat, mineral dan vitamins juga meningkatkan kekuatan badan melawan jangkitan penyakit yang mudah dialami oleh pesakit kanser.

7. Pengambilan air yang mencukupi boleh mengurangkan risiko kekeringan terutamanya ketika anda menerima rawatan kanser kerana jika anda kekeringan, risiko untuk mendapat darah beku di dalam saluran darah anda akan meningkat dan anda boleh mengalami thrombosis/darah beku di kaki dan boleh pergi ke salur darah paru-paru. Ramai pesakit kanser meninggal disebabkan oleh kejadian ini, lebih-lebih lagi jika mereka tidak aktif dan menghabiskan masa yang panjang di tempat tidur. Pengambilan air dan mineral yang mencukupi juga dapat melawan masalah kehilangan air dan mineral akibat muntah ataupun cirit-birit semasa rawatan kanser. Pengambilan air juga dapat menggantikan air yang hilang akibat muntah ataupun cirit.

8. Mengambil karbohidrat yang mencukupi (tidak terlalu kurang dan tidak terlebih) akan membuat anda mempunyai tenaga yang mencukupi untuk tujuan menjalani aktiviti fizikal dan juga fungsi organ yang normal. Sebahagian dari sumber karbohidrat, umpamanya whole grains (bijirin dan produk bijirin tulin) dapat menyediakan bukan sahaja sumber karbohidrat tetapi juga mineral, vitamin, serat dan fitonutrin (phytonutrients). Contoh-contoh whole grains adalah nasi perang, oat, barli dan jagung ataupun makanan-makanan yang diperbuat daripadanya. Banyak kajian menunjukkan bahawa pengambilan whole grain yang mencukupi bukan sahaja baik untuk kesihatan tubuh badan tetapi juga dapat mengurangkan risiko menghidap kanser payudara, penyakit jantung, penyakit diabetes, mengurangkan berat badan dan juga lain-lain manfaat kesihatan yang tentu sekali dapat memberi kesihatan tambahan kepada pesakit kanser. Saya juga ingin mengingatkan bahawa pengambilan kalori yang terlalu ketat sehingga menyebabkan pesakit mengalami ketosis seperti kepercayaan sesetengah orang (diet ketogenik) tidak disokong oleh bukti kajian saintifik yang kukuh, jadi lebih baik dielakkan.

9. Pengambilan lemak yang mencukupi (tidak berlebihan) juga penting kerana lemak dapat membekalkan tenaga dan lemak diperlukan di dalam pembinaan komponen sel badan serta terlibat di dalam sistem pengangkutan dan penyimpanan. Tetapi anda hendaklah mengambil jenis lemak yang baik iaitu lemak tidak tepu (minyak sayuran, minyak bijirin, minyak jagung, minyak olive, minyak zaitun, minyak kelapa sawit tergolong di dalam kedua2 kategori). Menggurangkan pengambilan lemak tepu (lemak dari sumber haiwan) dan trans-fatty acid boleh mencegah diri anda dari kegemukan kerana kegemukan dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan, malah kajian menunjukkan bahawa pesakit kanser yang mempunyai berat badan yang berlebihan lebih tinggi risiko untuk mendapat kanser berulang. Kegemukan juga dikaitkan dengan kanser dari jenis yang lebih ganas (kanser payudara). Kegemukan juga menyukarkan rawatan kanser kerana kesukaran semasa membedah, memerlukan ubat kemoterapi yang lebih tinggi dosnya, sukar untuk mendapatkan saluran darah untuk tujuan memberi rawatan kemoterapi dan juga kesukaran untuk rawatan radioterapi (badan yang besar menyukarkan pakar radioterapi untuk merancang rawatan dan menentukan sasaran pancaran radioterapi). Jadi apabila bercakap dari segi pengambilan nutrin yang baik atau optima, maka ianya bukan sahaja menyentuk pengambilan nutrin dalam kuantiti yang sesuai tetapi juga tidak mengambil nutrin secara berlebihan sehingga menjadi gemuk ataupun obese.

10. Pengambilan nutrin yang seimbang serta mengandungi semua kandungan nutrin dan mengamalkan gaya hidup sihat (tidak merokok, tidak mengambil alcohol, senaman yang tetap dan lain-lain) untuk kesihatan badan bukan sahaja memberi manfaat meningkatkan keupayaan pesakit melawan kanser serta meningkatkan keberkesanan rawatan kanser, tetapi dengan amalan yang sihat ini, mereka juga dapat dielakkan dari menghidap penyakit lain yang bukan kanser seperti diabetes, penyakit jantung, darah tinggi dan stroke. Malah mereka juga dapat mencegah diri dari menghidap kanser lain yang dikaitkan dengan amalan hidup yang tidak sihat kerana memang ada pesakit kanser yang menghidap lebih dari satu jenis kanser. Ini tentu boleh membantu memberi kualiti hidup yang lebih baik kepada pesakit kanser secara keseluruhannya.


Kesimpulannya mengambil makanan yang seimbang dengan makronutrin serta mikronutrin yang mencukupi dapat memberi banyak manfaat kepada pesakit kanser samada semasa rawatan ataupun selepas rawatan.

PENGAMBILAN SUPLEMEN ANTIOKSIDAN OLEH PESAKIT KANSER

Anti-oksidan adalah molekul yang bertindak ke atas radikal bebas supaya dapat mencegah radikal bebas dari menyerang sel-sel yang normal.  Di antara elemen-elemen yang termasuk di dalam kategori anti-oksidan adalah beta-karoten, vitamin A, C, E,selenium dan zink, termasuk beberapa jenis enzim dan banyak lagi sumber-sumber antioksidan. Antioksidan boleh diperolehi melalui suplemen dalam bentuk pil, kapsul ataupun jus. Jika anda ingin mengambil antioksidan yang lebih semulajadi, ianya boleh diperolehi dari buah-buahan dan sayur-sayuran yang merupakan sumber antioksidan yang terbaik. Pengambilan antioksidan seringkali dikaitkan dengan salah satu kaedah mengurangkan risiko menghidap kanser tetapi adakah dakwaan ini benar? Kebanyakan ahli-ahli sains akur atau kurang mempertikaikan dakwaan bahawa pengambilan makanan yang mengandungi antioksidan mempunyai manfaat kesihatan iaitu ianya meneutralkan molekul radikal bebas yang boleh merosakkan DNA manusia. Kerosakan DNA ini boleh dikaitkan juga dengan punca berlakunya pelbagai jenis penyakit. Walau bagaimanapun kajian-kajian terhadap kepentingan mengambil suplemen antioksidan di dalam bentuk pil dan lain-lain bentuk yang bukan makanan menemui jalan buntu dan banyak yang mengecewakan. National Cancer Institute telah menaja sekurang-kurangnya 9 kajian prospektif yang besar untuk melihat keberkesanan antioksidan iaitu beta-karoten, alfa-tokoferol ,selenium, vitamin C, Vitamin E dan zink di dalam mencegah berbagai jenis kanser, tidak ada satupun hasil kajian tersebut yang dapat membuktikan suplemen antioksidan dapat mencegah kanser (rujukan).  Ini mungkin disebabkan oleh kesan antioksidan yang boleh menjadi serampang dua mata kerana radikal bebas juga boleh membunuh sel-sel kanser, jadi secara teorinya jika kita menghapuskan radikal bebas ini keseluruhannya, maka ianya mungkin juga turut membantu sel-sel kanser kerana radikal-radikal bebas ini  boleh juga menghapuskan sel-sel kanser. Kajian terbaru dijalankan oleh sekumpulan ahli sains China yang disiarkan di Science Translational Medicine  telah menunjukkan bahawa antioksidan yang diberi di dalam bentuk yang lebih tulin boleh menyebabkan sel-sel kanser membiak lebih cepat. Mereka mendedahkan sel-sel kanser manusia (kanser hati, payudara, usus, ovari) yang diletakkan di dalam makmal kepada sejenis ubat anti-diabetes yang juga antioksidan dikenali sebagaisitagliptin dan saxagliptin, mereka dapati sel-sel ini lebih cepat membiak. Bila tikus-tikus makmal yang mempunyai sel-sel kanser manusia ini diberikan ubat-ubat yang sama, sel-sel kanser itu menjadi lebih agresif dan merebak ke tempat lain dengan lebih pantas. Walaupun kajian ini adalah kajian makmal tetapi keputusannya membimbangkan. Tuhan telah menlengkapkan tubuh badan manusia dengan kaedah semulajadi untuk menangani radikal bebas tetapi jika manusia cuba mengubah sistem yang berjalan di dalam tubuh badan mereka, mungkinkah akibat buruk bakal menimpa. Jawapan kepada persoalan ini masih belum terjawab.

Secara peribadi, saya berpendapat bahawa jika kita berhajat untuk mengambil antioksidan di dalam bentuk produk suplmen, maka ianya TIDAK diambil ketika rawatan sedang dijalankan dan ketika pesakit belum disahkan sepenuhnya. Jika setelah pesakit disahkan pulih dari penyakit kanser maka mereka boleh mengamalkan pengambilan suplemen antioksidan termasuk vitamin walaupun tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa ianya lebih baik dari sumber-sumber yang diperolehi dari makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran. Pesakit-pesakit perlu membuat pertimbangan di antara manfaat antioksidan yang terdapat di dalam suplemen tersebut dengan kesan negatif bahan-bahan pengawet, pewarna dan lain-lain elemen sampingan yang terdapat di dalamnya. Jika ianya di dalam bentuk pil, tentu timbul masalah untuk menelan, dan faktor sejauhmana penyerapan berlaku di dalam perut dan usus perlu juga diambil kira. Begitu juga jika ianya di dalam bentuk jus, kualiti sumber antioksidan itu tentu tidak sesegar sumber asli dari buah-buahan dan sayuran. Di samping masalah bahan-bahan aktif yang mudah mendap di dasar botol sehingga jika tidak digoncang, bahagian atas botol itu hanyalah air semata-mata. Jus-jus di dalam botol ini juga tidak bebas dari penggunaan pengawet dan yang lebih malang jika pengeluarnya menggunakan pewarna dan campuran-campuran perasa yang akan menghilangkan keaslian serta ketulinan sumber antioksidan tersebut. Ini tidak termasuk isu kos yang perlu dikeluarkan, tidak perlu menghabiskan sejumlah wang yang besar untuk suplemen-suplemen ini jika kurang berkemampuan. Sebenarnya jika pesakit mengambil makanan yang seimbang seperti yang disarankan oleh pakar dietetik, ianya sudah mengandungi semua nutrin-nutrin penting yang diperlukan termasuk juga antioksidan. Saya ingin menasihati semua pesakit supaya mendapatkan nasihat doktor yang merawat mengenai apa sahaja suplemen yang hendak diambil dan gunakan khidmat pakar dietetic untuk mendapatkan nasihat mengenai jenis makanan dan pemakanan yang paling sesuai semasa dan selepas rawatan kanser.



PENGAMBILAN FITOOESTROGEN OLEH PESAKIT KANSER

Fitonutrin (Phytonutrients) adalah nutrin yang terdapat di dalam tumbuh-tumbuhan. Terdapat juga tumbuh-tumbuhan yang mempunyai bahan yang seakan-akan hormon estrogen dan bahan seakan hormon estrogen yang diperolehi dari tumbuhan ini dinamakan fitoestrogen (phyto-oestrogens). Di samping mempunyai fitoestrogen, tumbuh-tumbuhan yang membekalkan fitoestrogen ini juga mengandungi antioksidan. Terdapat 3 jenis fitoestrogen: 1) Isoflavonoids/Isoflavones (genistein,daidzein, glycitein) yang ditemui di dalam kekancang (legumes, kacang kuda), termasuk kacang soya yang merupakan sumber paling kaya, 2) Lignan, yang ditemui di dalam kacang, kacang soya, kacang kuda, kuci,cereals, buah-buahan dan sayuran dan 3) Coumestans, ditemui dalam sprouted beans, alfalfa dan clover (semanggi). Contoh tumbuhan yang mengandungi fitoestrogen adalah kacang soya dan makanan-makanan yang bersumberkan kacang soya seperti tofu, tempeh dan susu kacang soya. Terdapat dua bentuk pengambilan fitoestrogen iaitu 1) diambil dalam bentuk makanan dan minuman yang berasaskan kacang soya dan 2) di dalam bentuk suplemen yang mengandungi ekstrak protin soya dalam bentuk kapsul, pil ataupun bentuk-bentuk lain. Saya akan membincangkan mengenai kedua-duanya bentuk sumber fitoestrogen ini.

Estrogen adalah sejenis hormon yang terdapat di dalam badan manusia dan ianya dikenali sebagai hormon wanita sebab hormon estrogen dihasilkan dari kelenjar ovari. Ianya adalah hormon yang sangat penting untuk kesuburan, perkembangan organ dan sifat seorang wanita. Ia mempengaruhi fungsi dan perkembangan banyak organ badan. Beberapa jenis kanser mempunyai reseptor hormon ini di mana jika terdedah kepada kuantiti hormon estrogen yang tinggi, dari segi teorinya ia mungkin boleh meransang pembiakan sel-sel kanser. Walau bagaimanapun sebenarnya banyak jenis kanser yang tidak mempunyai reseptor hormon ini dan tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan hormon estrogen. Bahan menyerupai estrogen yang terdapat di dalam tumbuhan ini walaupun boleh bertindak seperti hormon estrogen, kesannya lebih lemah. Disebabkan keistimewaan sumber-sumber fitoestrogen ini, ahli sains telah mengkaji samada ia mempunyai manfaat ataupun mudarat kepada manusia termasuk dari sudut pencegahan penyakit (termasuk pencegahan kanser) dan juga kesan keatas penyakit-penyakit lain. Mengenai manfaat pengambilan fitoestrogen terhadap pencegahan kanser oleh orang yang normal, kajian menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan (bukti tidak cukup kuat) bahawa pengambilan makanan soya mengurangkan risiko kanser prostat dan perut. Kadar kematian akibat kanser prostat dan kanser payudara didapati lebih rendah dalam kalangan penduduk Asia berkemungkinan dikaitkan dengan pengambilan tinggi makanan bersoya.  Tidak ada bukti kukuh tentang manfaat makanan soya terhadap pencegahan kanser-kanser lain (kanser tekak, pancreas, payudara, endometrium, usus). Jadi disebabkan oleh bukti yang tidak kukuh banyak pertubuhan kanser dunia tidak mengesyorkan pengambilan supplemen yang mengandungi protin soya yang telah diasingkan dan kapsul isoflavone kepada lelaki dan wanita yang sihat untuk tujuan mencegah kanser.

Mengenai pengambilan fitoestrogen oleh penghidap kanser pula, kajian banyak dijalankan ke atas penghidap kanser payudara. Tidak dapat dipastikan bahawa pengambilan fitoestrogen di dalam kuantiti yang tinggi akan memudaratkan pesakit kanser payudara. Hasil kajian saintifik menunjukkan keputusan yang bercanggahan dan jikapun ada kesan mungkin kepada pesakit kanser payudara yang tergolong di dalam golongan estrogen receptor positif. Terdapat juga kajian menunjukkan bahawa fitoestrogen boleh mengurangkan kesan ubat Tamoxifen yang digunakan untuk rawatan kanser payudara. Jadi mungkin boleh dikatakan bahawa fitoestrogen terutamanya di dalam bentuk suplemen tidak sesuai diambil oleh pesakit kanser payudara samada semasa rawatan ataupun selepas menerima rawatan.

Mengenai kesan pengambilan fitoestrogen terhadap kanser-kanser lain, belum ada bukti kukuh yang mengaitkan pengambilan suplemen fitoestrogen ataupun makanan berasaskan soya dengan ransangan kanser. Kesimpulannya, kepada lelaki dan wanita yang sihat mengambil makanan yang berasaskan soya ataupun lain-lain sumber fitoestrogen dalam bentuk semulajadi tidak akan mendatangkan mudarat malah mempunyai banyak manfaat kesihatan, selagi ianya di dalam kuantiti yang disyorkan. Tidak ada alasan yang munasabah dari sudut pencegahan penyakit dan kesihatan untuk mengambil suplemen berasaskan protin soya yang diektrak oleh lelaki dan wanita yang sihat, lebih-lebih lagi ianya boleh diperolehi dengan mudah melalui makanan. Bagi pesakit kanser pula, secara keseluruhannya pengambilan soya dalam bentuk makanan ataupun bentuk aslinya di dalam kuantiti yang disyorkan tidak memudaratkan apatah lagi jika kanser sudah sembuh kecuali pesakit kanser payudara seperti yang dinyatakan di atas. 

Ahli sains juga mendapati bahawa terdapat banyak jenis fitoestrogen dan setiapnya mempunyai ciri-ciri yang berbeza serta mempunyai kesan yang kadangkalanya bertentangan mengikut keadaan. Di dalam keadaan tertentu ia bertindak sebagai peransang tetapi pada keadaan lain pula ia boleh merencat. Ini menyebabkan fitoestrogen mempunyai baik dan buruknya. Contoh kebaikan fitoestrogen adalah kemungkinan mengurangkan risiko menghidap kanser prostat dan usus, mengurangkan gejala menopaus, mengurangkan risiko osteoporosis dan ada juga yang mendakwa boleh mengurangkan risiko penyakit jantung .

Sebenarnya pengambilan nutrin yang berasaskan tumbuhan adalah salah satu amalan yang disyorkan oleh banyak pertubuhan dan institusi kesihatan di dunia dan fitonutrin termasuk fitoestrogen dari sumber kacang soya adalah salah satu daripadanya. Makanan yang mengandungi 30-50mg isoflavones dikatakan sudah mencukupi untuk membekalkan kesihatan badan. Jadual 1 di bawah menunjukkan kandungan fitoestrogen di dalam makanan bersoya.

Jadual 1: Kandugan fitoestrogen di dalam makanan bersoya yang berbeza


KESIMPULAN

Mengambil makanan yang seimbang yang terdiri dari semua nutrin yang diperlukan pada kadar yang disyorkan adalah sangat penting kepada pesakit kanser yang sedang dirawat dan yang telah menerima rawatan. Kesemua komponen-komponen nutrin mempunyai manfaat kepada pesakit kanser di dalam meningkatkan kekuatan badan melawan penyakit, meningkatkan ketahanan badan terhadap rawatan, mempercepatkan pemulihan, mengurangkan risiko jangkitan, mengurangkan kesan sampingan rawatan dan mengurangkan gangguan terhadap rawatan yang diberikan. Hasil dari manfaat ini adalah keberkesanan yang lebih tinggi rawatan kanser, memperbaiki mutu hidup dan kepada sebahagian pesakit kanser ianya mungkin dapat memanjangkan hayat mereka. Kaedah terbaik mengambil nutrin-nutrin ini adalah melalui makanan dan minuman. Tidak ada bukti yang kukuh bahawa pengambilan suplemen dalam bentuk pil, kapsul, sirup ataupun lain-lain bentuk adalah lebih baik dari makanan dan minuman sebagai sumber nutrin kepada pesakit kanser selagi mereka boleh mengambilnya dengan cara yang normal. Setakat ini tidak ada bukti yang kukuh bahawa pengambilan suplemen antioksidan mengurangkan risiko menghidap kanser. Manakala untuk pesakit kanser pula, pengambilan suplemen antioksidan tidak disyorkan semasa rawatan kanser dan jika kanser belum disahkan sembuh sepenuhnya kerana terdapat kajian makmal yang menunjukkan bahawa suplemen antioksidan meransang pembiakan sel kanser. Pengambilan diet yang tinggi dengan fitoestrogen mempunyai kaitan dengan kurangnya risiko menghidap kanser prostat dan kanser usus. Selain dari kanser payudara, tidak ada bukti kukuh bahawa fitoestrogen yang terkandung di dalam tumbuhan termasuk dari kacang soya dan makanan bersoya meransang sel-sel kanser dan meningkatkan risiko kanser berulang. Malahan pengambilan makanan berasaskan soya dalam kuantiti yang disyorkan adalah digalakkan kerana ianya mempunyai manfaat kepada kesihatan tubuh badan manusia. Pesakit kanser payudara tidak digalakkan mengambil suplemen yang mengandungi fitoestrogen samada semasa dirawat ataupun selepas rawatan. Sumber terbaik nutrin dan antioksidan samada untuk individu yang normal ataupun penghidap kanser adalah dari makanan, buah-buahan, sayuran dan minuman. Sebelum mengambil sebarang produk kesihatan hendaklah berbincang terlebih dahulu dengan pakar kanser untuk mendapat maklumat samada ianya sesuai diambil ataupun tidak.  Untuk mendapat kesihatan yang menyeluruh, di samping mengambil makanan yang seimbang dan mencukupi, amalan gaya hidup sihat yang lain mesti dilakukan termasuk tidak merokok, tidak minum alcohol, melakukan senaman secara tetap, mendapat berat badan yang ideal dan yang tidak kurang pentingnya adalah mengurangkan stres. Amalan-amalan ini bukan saja dapat membantu di dalam proses rawatan dan pemulihan penyakit kanser, tetapi ianya juga boleh mencegah penyakit-penyakit kronik bukan kanser yang lain seperti diabetes, penyakit jantung koronari, stroke dan lain-lain.


Rujukan: 

Position statement :Soy, phyto-oestrogens and cancer prevention. 2009, Cancer Council Australia. 
Wang H, Liu X, Long M, NRF2 activation by antioxidant antidiabetic agents accelerates tumour metastases. Science Translational Medicine, April 2016, Vol 8, Issue 334, pp 334ra51, DOI:10.1126/scitranslmed.aad6095 
Wang H, Liu X, Long M, NRF2 activation by antioxidant antidiabetic agents accelerates tumour metastases. Science Translational Medicine, April 2016, Vol 8, Issue 334, pp 334ra51, DOI:10.1126/scitranslmed.aad6095
Patisaul HB, Jefferson W. The pros and cons of phytoestrogens. Fron Neuroendocrinol, 2010, Oct;31(4):400-419
http://www.cancer.gov/about-cancer/causes-prevention/risk/diet/antioxidants-fact-sheet

Rencana ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana pertubuhan ataupun institusi.


http://dribnusina.blogspot.my/2016/05/keperluan-makanan-pesakit-kanser-apakah.html

ADAKAH GULA MENYEBABKAN KANSER ?

Salam .. hari ini saya nak kongsikan catatan blog  yang ditulis oleh (my gynae-onco) YBhg. Dato Dr  Rushdan Noor   Pakar Kanser Wanita da...