29 Februari 2016

TEKANAN EMOSI PESAKIT KANSER oleh Dato Dr Rushdan (my gynae-onco di HSB)

PENDAHULUAN

Kanser adalah dikategorikan sebagai penyakit kronik yang menakutkan dan mempunyai kesan fizikal dan psikologi yang serius jika tidak ditangani dengan betul.Contoh penyakit kronik lain adalah penyakit kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, sakit buah pinggang dan sebagainya. Sebenarnya tanggapan bahawa penyakit kanser adalah hukuman mati kepada pengidapnya semakin kurang relevan kerana penyakit ini boleh disembuhkan sepenuhnya jika pesakit datang dan dirawat pada peringkat awal. Malahan banyak lagi penyakit-penyakit kronik lain yang lebih memudaratkan.Penyakit kencing manis umpamanya tidak kurang bebannya jika tidak dikawal dengan baik kerana kencing manis boleh menyebabkan komplikasi kepada hampir semua organ badan dan pengidapnya boleh menderita seumur hidup. Begitu juga penyakit darah tinggi, jantung dan penyakit buah pinggang kronik yang telah membunuh berjuta-juta orang manusia setiap tahun, pengidap penyakit-penyakit ini perlu dirawat untuk selama lamanya.Seperti yang saya sebutkan tadi, pada hari ini pesakit kanser yang dirawat boleh sembuh sepenuhnya dan boleh menjalani kehidupan seperti orang lain yang normal. Malahan ramai bekas pesakit kanser yang bukan sahaja sembuh tetapi masih boleh terus menyumbang kepada kemajuan negara, kepada kebajikan dan kebaikan orang lain. Jangan jadikan mengidap kanser ini sesuatu petanda yang anda tidak mempunyai masa depan.

BAGAIMANA MENGHADAPI TEKANAN EMOSI DAN PSIKOLOGI AKIBAT DARI MENGHIDAP KANSER

Menjalani rawatan kanser tidak bermakna anda mesti melupakan keseronokan hidup. Anda masih boleh berjenaka, bergaul rapat dengan keluarga dan rakan-rakan, mengadakan hubungan seksual, melakukan aktiviti harian dan meneruskan hobi anda. Jika anda merasa ceria dan memenuhi masa lapang dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah, anda tidak akan terlalu memikirkan masalah penyakit anda dan ini adalah sesuatu yang baik untuk kesihatan anda.

Kebiasaannya, anda akan merasa bingung dan tidak tentu arah setelah mengetahui tentang penyakit dan rawatan anda. Ada harinya anda merasa yakin, penuh harapan dan boleh mengawal diri. Pada hari-hari yang lain, anda akan berperasaan sangat negatif. Anda mungkin merasa takut untuk menghadapi penyakit dan merasa tidak berdaya, takut akan kematian atau apa yang berlaku di kemudian hari. Anda mungkin merasa bimbang tentang perubahan yang akan berlaku dalam hidup anda, masalah kewangan atau samada keluarga anda boleh menghadapi situasi ini. Walaupun anda seorang yang selalunya penuh keyakinan, anda mungkin tidak dapat mengelak berperasaan muram jika terus memikirkan perkara-perkara buruk yang akan berlaku.

Walaupun anda boleh cuba menyingkirkan perasaan-perasaan yang negatif dengan cara tidak memikirkannya, adalah lebih baik jika anda belajar untuk menerimanya dan membuatkan mereka yang rapat dengan anda menerimanya juga. Jika anda berjaya menangani masalah-masalah emosi ini, anda akan mempunyai lebih keyakinan diri dan mampu membuat keputusan-keputusan penting. Sikap yang terbuka dan positif akan membuatkan anda lebih kuat dan yakin untuk menghadapi rawatan dan menahan kesan-kesan sampingannya.

Salah satu kaedah yang penting untuk menjaga diri anda dan melawan tekanan perasaan ialah dengan membenarkan orang lain membantu anda.

APAKAH YANG BOLEH ANDA LAKUKAN UNTUK MEMULIHKAN KESTABILAN EMOSI ANDA 
  1. Berfikiran positif adalah satu sikap yang akan memberi anda kekuatan untuk menghadapi penyakit kanser. Sesungguhnya kematian itu adalah kepastian, tidak ada sesiapa yang terkecuali dan sesiapa pun tidak tahu bagaimana caranya mereka akan mati. Apa yang penting adalah sentiasa bersyukur dengan pemberian tuhan dan menganggap ini adalah satu ujian dan jika berupaya menghadapi ujian ini, ganjarannya tak ternilai malah lebih besar dari apa-apa saja ganjaran di dunia ini.
  2. Luahkan perasaan anda. Kebanyakan orang akan merasa lega, kurang takut dan tidak kesunyian setelah mereka meluahkan perasaan mereka. Cuba berkongsi perasaan anda dengan mereka yang mengambil berat tentang diri anda. Berbincanglah dengan keluarga, rakan-rakan, pesakit-pesakit kanser yang lain atau doktor keluarga anda bila anda merasa bersedia untuk berbuat demikian.
  3. Keluarga atau rakan-rakan anda mungkin akan merasa kekok untuk bercakap dengan anda atau menawarkan bantuan mereka. Mereka bimbang akan mengeluarkan perkataan-perkataan yang akan menyinggung perasaan anda, dan dengan itu memilih untuk berdiam diri. Hanya anda sahaja yang boleh memberitahu mereka apa yang anda mahu atau perlukan. Mungkin sukar bagi anda untuk meminta bantuan dari mereka, tetapi dengan membenarkan mereka membantu anda, anda sebenarnya membantu mereka juga.
  4. Sertai kumpulan sokongan. Berkongsi pengalaman dan berbincang dengan orang yang sedang atau telah melalui pengalaman atau kebimbangan yang sama semasa menjalani rawatan kanser mungkin boleh membantu anda menjadi lebih tabah. Anda boleh berkongsi melalui perjumpaan dan juga melalui media sosial. Terdapat banyak kumpulan sokongan yang diwujudkan di media-media sosial yang diasaskan oleh bekas pesakit kanser sendiri. Tidak ada orang lain yang lebih memahami perasaan yang dialami oleh pesakit kanser melainkan mereka-mereka yang telah mengalaminya. Salah satu kumpulan sokongan yang ditubuhkan untuk tujuan ini adalah Cancer Survivors Malaysia (CSM). Saya menggalakkan anda untuk bersama kumpulan ini.
  5. Dapatkan rujukan kepada pakar psikologi untuk membantu menghadapi masalah emosi anda jika anda rasakan perlu. Dengan cara ini anda boleh meluahkan perasaan anda kepada seorang yang professional, terutama jika anda mendapati sukar untuk meluahkannya kepada orang lain.
  6. Pelajari cara-cara untuk merehatkan diri. Contohnya: mendengar muzik atau membayangkan perkara-perkara indah dalam kehidupan anda. Teknik-teknik ini boleh dicuba sebelum, semasa atau selepas kemoterapi. Anda juga boleh mencubanya dalam kehidupan seharian.
  7. Kaedah yang terakhir tetapi paling penting adalah melalui mendekatkan diri dengan Tuhan. Bagi anda yang berugama Islam, banyakkan berdoa, membaca al-quran, sembahyang hajat dan memuhasahab diri. Kehidupan di dunia ini cuma hanya sedetik waktu dari kehidupan sebenar di akhirat yang tiada penghujungnya. Penuhilah amalan-amalan yang baik, rajin bersedekah dan membantu orang susah. Inilah masa yang terbaik untuk mengenal diri dan lebih mendekatkan diri dengan Allah. Tidak ada sesiapa yang dapat menghalang dan mengubah apa saja ketentuanNya.

SUMBANGAN YANG BOLEH DIBERIKAN OLEH ORANG YANG MENJADI PENJAGA PESAKIT KANSER.

Sekiranya anda yang membaca buku ini adalah salah seorang yang menjadi penjaga kepada pesakit kanser maka saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kerana anda adalah di antara manusia-manusia mulia yang sabar dan gigih membantu orang yang anda kasihi. Sumbangan anda tidak ternilai harganya. Sumbangan keluarga terdekat terhadap perawatan dan penjagaan pesakit kanser adalah tersangat penting kerana pesakit kanser ini memerlukan bukan saja sokongan fizikal tetapi lebih-lebih lagi sokongan emosi dan mental. Di dalam memberi sokongan kepada pesakit kanser, anda perlu mempunyai pengetahuan bagaimana mengendalikan pesakit ini terutamanya dari aspek sokongan moral dan emosi. Anda boleh membuat kesilapanmenambah penderitaan emosi pesakit jika perbuatan dan perkataan anda tidak sesuai. Jadi anda perlu memiliki kemahiran berkomunikasi dengan pesakit kanser.

Berikut adalah beberapa tip untuk anda amalkan supaya dapat mengurangkan beban penyakit kanser yang dihadapi oleh orang tersayang.

1.   SOKONGAN MENTAL DAN EMOSI

  1. Pesakit sedang mengalami tekanan emosi. Bersabar terhadap karenah mereka terutamanya perubahan ‘mood’ mereka.
  2. Berikan semangat dan harapan.
  3. Jangan singkirkan mereka dari aktiviti sosial anda. Galakkan mereka melibatkan diri dan lakukannya bersama-sama.
  4. Sentiasa bersedia untuk mendengar keluhan dan luahan perasaan mereka pada bila-bila masa.
  5. Jangan menjauhkan diri atau mengelakkan diri dari menyentuh mereka. Ingat bahawa kanser tidak boleh berjangkit, sentuhan kasih sayang boleh menjadi ubat yang mujarab untuk menghilangkan keresahan dan tekanan perasaan. Selalu memeluk mereka kerana pelukan mempunyai nilai penyembuhan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.
  6. Temani mereka semasa menjalani rawatan jika dibenarkan.
  7. Temani mereka semasa perbincangan mengenai penyakit atau rawatan.
  8. Temani mereka dan ikuti aktiviti-aktiviti kumpulan sokongan.
2.   SOKONGAN FIZIKAL 

  1. Tawarkan diri untuk menyediakan makanan yang berkhasiat untuk mereka
  2. Temani mereka semasa makan. Ini boleh meningkatkan selera makan mereka.
  3. Hubungi doktor jika pesakit tidak minum selama 24 jam atau tidak mengambil apa-apa makanan selama dua hingga tiga hari.
  4. Bantu mereka untuk datang berjumpa dengan doktor seperti meluangkan masa menghantar mereka ke hospital.
3.  LAIN-LAIN SOKONGAN

a. Jangan mengeluarkan perkataan dan melakukan perbuatan yang boleh menyakitkan hati mereka. Kasihanilah mereka dan jadikan musibah ini untuk mengeratkan lagi hubungan anda dengan mereka supaya anda tidak rasa menyesal selepas pemergian mereka sebaliknya anda berasa puas dan inilah balasan yang anda terima di dunia ini. Balasan untuk anda di akhirat tentu tak ternilai besarnya.
b. Berdoalah supaya penyakit kanser orang tersayang dapat sembuh dan jika ditakdirkan tidak dapat disembuhkan maka berdoalah supaya mereka diberi kekuatan untuk sabar dan menerima ketentuan Tuhan dengan redha. 

PANDUAN BERCAKAP DENGAN PESAKIT KANSER

Berhati-berhati apabila mengeluarkan perkataan kepada pesakit kanser. Ini adalah panduan kepada orang yang dekat dengan pesakit kanser samada pasangan, saudara mara ataupun sahabat baik. Ada perkataan yang pada pendangan kita sesuai tetapi tidak sesuai dikeluarkan.Fakta-fakta ini diperolehi hasil dari soal-selidik pakar-pakar kanser dan psikologi terhadap pesakit kanser. Berikut adalah 10 ayat yang TIDAK PATUT dan SEPATUTNYA keluar dari mulut anda sebagai pasangan ataupun orang yang dekat dengan pesakit kanser:
1.    TIDAK PATUT: ”Saya tidak boleh berhenti menangis dan seringkali terbangun tidur memikirkan tentang awak”.
SEPATUTNYA: ”Saya merasa sedih kerana anda perlu melalui semua ini. Jangan ragu-ragu untuk menangis depan saya, bercakap dengan saya ataupun awak boleh saja tidak mahu bercakap dengan saya
2.    TIDAK PATUT: ” Bersyukur kerana kanser yang anda hidapi bukan jenis yang itu (jenis kanser lain yang lebih serius)”.
SEPATUTNYA: ”Beritahu saya mengenai kanser yang anda hidapi, jika awak sudi. Saya ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pengalaman yang awak lalui
3.    TIDAK PATUT : ” Adakah awak merokok” seolah2 mencari punca penyebab kanser.
SEPATUTNYA: ”Saya simpati kerana awak menghidap penyakit ini
4.   TIDAK PATUT: ” Kawan saya mengidap penyakit kanser yang sama, saya akan ceritakan kepada awak semua berkenaan dengannya”. Seolah anda menjadi wakil menceritakan pengalaman orang lain.
SEPATUTNYA: ”Sahabat saya juga mengalami penyakit kanser yang sama, adakah awak ingin menghubunginya untuk berkongsi,?”
5.   TIDAK PATUT:”Jika ada apa-apa yang boleh saya bantu, beritahu saya”. Menambah beban pesakit berfikir apakah bantuan yang diperlukan.
SEPATUTNYA: ”Saya bercadang untuk masak bubur hujung minggu ini, boleh saya bawakan juga untuk awak? Ataupun awak ada makanan lain yang saya boleh dapatkannya?". Anda membuat cadangan dan keputusan yang spesifik.
6.   TIDAK PATUT:”Saya faham perasaan awak”. Bagaimana  mungkin orang lain memahami perasaan perasaan pesakit kanser, perasaan seseorang pesakit tidak akan sama.
SEPATUTNYA: ”Saya tak dapat nak bayangkan bagaimana perasaan awak”. Kenyataan ini akan membuka peluang kepada pesakit untuk bercerita dan meluah perasaan.
7.  TIDAK PATUT: ”Saya ada dengar pakar kanser sudah boleh menyembuhkan penyakit kanser ini dengan rawatan......” Jangan memandai membuat kenyataan yang anda sendiri tidak pasti dan pesakit hanya menganggap ianya untuk menenangkan mereka.
SEPATUTNYATanyakan soalan : "Adakah awak merasa sesuai dengan rawatan yang diberikan? Ada ke ubat ataupun teknik rawatan baru yang boleh membantu?
8.   TIDAK PATUT:  Tidak berkata apa2 ataupun SENYAP MEMBISU. Pesakit akan menganggap anda tidak memperdulikannya ataupun tidak kisah.
SEPATUTNYA: Jika anda tidak tahu apa yang hendak diucapkan, nyatakan kepadanya ” Saya tidak pasti apa yang perlu saya katakan tetapi saya bersedia mendengar, ataupun apa sahaja yang boleh membantu awak
9.   TIDAK PATUT: ” Segalanya akan berjalan dengan baik”. Perkataan ini tidak akan memberi apa-apa kesan kerana pesakit tahu anda hanya ingin membuatnya rasa lega sedangkan anda sendiri tidak pasti.
SEPATUTNYA: ”Saya sentiasa bersedia untuk membantu awak dan akan bersama awak untuk mengharunginya”.
10. TIDAK PATUT (selepas tamat rawatan) :”Tahniah, awak sudah selesai rawatan kemoterapi/radioterapi” ataupun " Lega sudah selesai kemoterapi/radioterapi". Fokus sebenar pesakit adalah samada kansernya sembuh atau tidak dan bukan tamatnya rawatan.Perasaan risau dan takut akan berterusan walaupun rawatan sudah tamat. Kadang-kandang kegembiraan yang anda luahkan itu mungkin dianggap lega kerana beban anda sudah dibuang. Simpan perasaan lega sebab itu kepada diri anda sendiri.
SEPATUTNYA: Tanya soalan terbuka ”Bagaimana perasaan awak sekarang, selepas rawatan kemoterapi?” Anda memberi kebebasan kepada pesakit untuk menentukan respon mengikut kehendak mereka.

APA KATA AHLI UGAMA BERKENAAN DENGAN PENYAKIT KANSER

Bagi orang-orang yang berugama Islam , adalah menjadi kewajipan untuk menjadikan quran, hadis dan ulamak sebagai sumber rujukan di dalam mencari jalan penyelesaian ke atas apa saja bentuk musibah. Bab ini akan memperkatakan sedikit mengenai pandangan ugama berkenaan dengan penyakit termasuk penyakit kanser. Isi kandungan bab ini adalah sumbangan dari Tuan Guru Hj. Md Noor Md Saad.

Di dalam Islam, orang yang sakit  adalah dikasihi oleh Allah s.w.t. Ada tersebut di dalam hadith kira-kira bermaksud ” Apabila Allah mengasihi seseorang, diujinya dengan berbagai-bagai ujian untuk mendengar rayuannya”. Seseorang yang sakit , Allah akan gugurkan dosa-dosa kecilnya seperti gugurnya daun-daun kayu yang kering dari pokok. Orang-orang yang sakit luar biasa, Allah jauhkan daripada fitnah kubur dan memasukkan mereka ke dalam syurga tanpa hisab dengan syarat ia hendaklah bersabar dan menerima ujian Allah itu dengan penuh kerelaan hati.

Allah akan menguji orang-orang yang beriman mengikut tahap keimanannya. Contoh yang paling baik adalah kisah Nabi Ayub yang diuji dengan berbagai-bagai musibah dari kemusnahan harta benda, kemudian kematian 3 orang anak lelakinya dan seterusnya penyakit kulit yang sangat dahsyat ke atas dirinya sendiri sehingga terpaksa tinggal berasing di dalam gua di padang pasir. Oleh kerana baginda bersabar, akhirnya penyakit tersebut itu sembuh dan sihat seperti sediakala dan Allah menjanjikan baginda syurga di akhirat kelak.

Anda mestilah menilai penyakit yang anda hidapi dengan cara positif, ada kalanya anda terasa yang penyakit anda terlalu berat tetapi sebenarnya ada lagi orang lain yang mengalami penyakit yang lebih berat hingga tiada penawar untuk menyembuhkannya.

Islam menkategorikan penyakit kepada 3 jenis :
1. Penyakit yang nyata dan terang seperti penyakit kanser, penyakit kencing manis, darah tinggi dan lain-lain. Penyakit di dalam kategori ini hendaklah diubati dengan kaedah rawatan moden terbaik seperti ubat-ubatan moden, pembedahan dan lain-lain.
2. Penyakit yang tidak nyata yakni yang tak dapat dikesan oleh apa saja kaedah moden. Setelah segala ikhtiar tidak berhasil mencari punca penyakit ini maka  hendaklah diubatinya dengan cara berdoa dan berjampi seperti yang dikehendaki oleh syarak berlandaskan al-quran dan sunnah. Penghidap penyakit ini juga digalakkan untuk bersedekah seperti sabda nabi yang bermaksud ” Peliharalah hartamu dengan membayar zakat dan ubatilah penyakitmu dengan bersedekah”.
3. Penyakit kerana qada Allah kepada hambanya yang tidak menunaikan tanggungjawab kepada Allah. Ubat untuk penyakit kategori ini adalah dengan memuhasabah diri, mencari kesilapan dan memperbaiki hubungan dengan Allah serta menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Terdapat banyak doa-doa yang boleh diamalkan. Di antara doa-doa yang disyorkan oleh para ulamak adalah dengan membaca ayat 82, surah Yasin. Ayat ini hendaklah dibaca sebanyak 100 kali sebaik-baiknya selepas sembahyang tahjud, kemudian ditiup ke dalam air dan air ini kemudiannya disapu di bahagian badan yang berpenyakit. Walau bagaimanapun, hendaklah diingat bahawa doa sahaja tidak mencukupi kalau tidak disertakan dengan ikhtiar yang bersungguh-sungguh.
Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD,MOG(UKM),Fellow GO (S'pore),AM
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah
President Malaysian Gynaecological Cancer Society 


Rujukan :  
1.Buku Kanser Wanita: Pencegahan dan Rawatan karangan Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor , terbitan Utusan Publication and Distributors Sdn Bhd.
2.http://www.prevention.com/sex/cancer-support

23 Februari 2016

Kanser dan Ganja (Canabis oil utk Kanser??)



saya ingin kongsikan  catatan sahabat FB saya  : sdr Mohd Saifullah tentang Ganja sebagai Rawatan Alternatif Kanser. Saya tahu ramai pesakit kanser yg menggunakan Canabis Oil sebagai satu rawatan alternatif utk penyakit Kanser mereka. Dan saya secara peribadi sangat TIDAK Bersetuju dengan idea ini.

(Penulis Mohd Saifullah telah menulis dlm FB Beliau)

Antara Pandangan dan Persepsi.
GANJA merupakan sejenis tumbuhan yang menghasilkan serat. Ia merujuk kepada daun, batang, bunga dan biji benih pokok cannabis yang mengandungi resin dan selalunya dikeringkan dahulu dengan menyalainya sebelum digunakan. Ganja juga dikenali sebagai marijuana, yang berasal daripada bahasa Portugis, iaitu perkataan mariguango yang bermaksud barang yang memabukkan.
Istilah ganja dipopularkan oleh kaum Rastafari, penganut agama Rasta di Jamaica. Mungkin ada yang masih ingat penyanyi reggae Bob Marley. Beliau yang menganut ajaran Rastafarian, mengambil ganja sebagai ritual keagamaan. Melalui lagu Ganja Gun, Bob Marley menyatakan bahawa beliau akan menghisap ganja sehingga buta. Bob Marley meninggal dunia pada 11 Mei 1981, pada usia 36 tahun, akibat penyakit melanoma (kanser kulit) yang merebak dari ibu jari kaki kanan ke otak dan menyebabkan tumor.
Mengikut undang-undang Malaysia, mereka yang memiliki 200 gram atau lebih ganja atau resin ganja, akan dihukum mandatori gantung sampai mati di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Untuk berat 50 gram atau lebih, hukumannya adalah penjara seumur hidup atau tidak kurang 5 tahun atau 10 sebatan rotan.
Begitu juga sekiranya seseorang memiliki kurang daripada 50 gram ganja, atau didapati bersalah menanam pokok ganja walau sepohon, boleh dihukum penjara seumur hidup dan sebatan rotan.
Baru-baru ini, seorang ahli Parlimen belia telah mencadangkan supaya kesalahan menghisap ganja dikaji semula kerana golongan muda tidak menganggapnya sebagai dadah. Saranan ini pula disokong oleh seorang ahli politik, yang menurutnya, menghisap ganja boleh menghilangkan tekanan kos sara hidup yang tinggi.
Memang benar, dalam kehidupan, akan ada tekanan. Tekanan datang daripada pelbagai punca seperti masalah kewangan, beban di tempat kerja, masalah kesihatan dan sebagainya. Ada di antara kita sudah berhutang walaupun belum bekerja. Hutang pinjaman pelajaran, kereta, dan rumah perlu dilangsaikan setiap bulan waima gaji kecil. Kini kos sara hidup pula semakin meningkat. Kita disarankan buat dua kerja demi kelangsungan hidup. Tekanan bertambah.
Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menangani tekanan. Ada yang mengambil minuman keras untuk melupakan seketika masalah yang dihadapi. Kini ada pula yang mencadangkan ganja. Adakah pengambilan alkohol atau ganja dapat menghilangkan masalah? Atau menambahkan lagi masalah?
Sebagai orang Islam, kita boleh mengurangkan tekanan dengan membaca atau mendengar al-Quran. Al-Quran adalah mukjizat yang terbesar bagi umat Islam. Ia menyejukkan hati dan memberikan ketenangan kepada sesiapa yang membaca atau mendengarnya.
Kita juga dapat menghilangkan tekanan dengan menceburi aktiviti sukan seperti bermain bola, futsal, golf atau bergiat dalam hobi masing-masing seperti memancing ikan, fotografi, dan melukis.
Paling kurang pun, kita boleh melangkah keluar rumah seawal Subuh, hirup udara pagi sedalamnya, dan lihat langit dan segala ciptaan ALLAH. Menikmati keindahan alam sewaktu matahari timbul atau tenggelam boleh menenangkan jiwa dan perasaan.
Melakukan perkara ini akan menimbulkan rasa syukur terhadap segala nikmat yang kita ada dan rasa syukur ini akan menghilangkan stres secara perlahan-lahan.
ALLAH SWT berfirman dalam surah Ar-Ra’d, ayat 28, yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati ALLAH. Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenteram.”
Ganja diharamkan dalam Islam berasaskan kepada kiasan haramnya arak yang sifatnya memabukkan serta merosakkan jasmani dan akal manusia (Portal rasmi Fatwa Malaysia). Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram.” (Riwayat Muslim dari Ibnu Umar).
Menurut Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), selain kesan kesihatan terhadap tubuh manusia, ia juga mempunyai kesan buruk ke atas personaliti seseorang. Antaranya, penghisap ganja akan menjadi khayal (berhalusinasi), ketagihan dan mengalami gangguan tingkah laku.
Maka, carilah penyelesaian yang benar dalam menghadapi masalah.Jangan mencari jalan singkat yang akhirnya menghancurkan diri sendiri, agama dan bangsa.
Mohd Saifullah bin Hj Dolmat

21 Februari 2016

we can i can

20hb Feb 2016   saya  telah dijemput menghadiri program FUN RUN sempena meraikan Hari Kanser Sedunia 2016 yg bertemakan WE CAN I CAN.  Saya juga telah berpeluang berkongsi pengalaman menjadi seorang pesakit kanser (Cancer Survivors).




Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kpd seluruh warga Hospitl Sultanah Bahiyh khususnya unit O&G kerana mengadakan program Fun Run sempena meraikan Hari Kanser Sedunia. Ianya merupakan sokongan terhadap kami Cancer Survivors. Kami merasakan amat disayangi.

Menjadi seorang pesakit Kanser ianya bukan mudah. Kita bukan sahaja perlu kuat dari segi fizikal dan emosi malah memiliki kekuatan kewangan yang kukuh dapat membantu dan memudahkan urusan. Cancer Survivors perlu kuat dan sabar menjalani rawatan yg dicadangkan oleh Onko. Sekiranya kita memiliki sumber kewangan yang baik .. kita boleh mendapatkan rawatan dari pelbagai sumber termasuk rawatan di luar negara. Namun begitu Rawatan Kanser yang ditawarkan oleh pihak Hospital kerajaan sangat moden dan terkini. Unit Kanser Wanita di Hospital Sultanah Bahiyah Kedah diketuai oleh YBhg Dato Dr Rushdan adalah antara yg terbaik di Malaysia.
Saya ingin merayu kpd para sahabat serta keluarga pesakit kanser untuk sentiasa berada di sisi bersedia memberi sokongan agar pesakit merasakan mereka disayangi dan tidak dibiarkan keseorgn. Anda tidak perlu memberi nasihat atau apa-apa cadangan rawatan ...sekiranya anda tidak tahu nak memulakan perbualan atau takut menyinggung perasaan pesakit kanser .. juz dont say a word. Jadilah seorang pendengar yang baik .. be a shoulder to cry on. Berikan mereka pelukan kasih sayang dan katakanlah:its okay ... dont be afraid Allah ada bersama2 kita .....

Sekiranya sahabat anda atau org tersayang mengidap penyakit kanser cadangkan kepada Pesakit Kanser utk berjumpa dgn sahabat senasib. Seorang Cancer survivors lain mampu memberi harapan serta berkongsi tips dan nasihat kesihatan kpd pesakit kanser. Utk maklumat lanjut boleh hubungi kami ADMIN Grup FB Cancer Survivors (Malaysia). Ahli kami terdiri dr cancer survivors pelbagai latarbelakang dan mengidap pelbagai jenis Kanser dari seluruh Malaysia. Pesakit akan lebih merasa lega apabila dapat berjumpa dengan mereka yg senasib dan cancer survivors yg berjaya kembali pulih sihat selepas menjalani rawatan.

Nasihat saya apa jua rawatan yang anda perlu lalui yang penting Pesakit kanser perlu mendapatkan nasihat yg betul dr Onko yg berkelayakan. Tolonglah Jangan dengar nasihat Penjual Ubat! Kanser boleh dirawat dan kita akan kembali sihat tetapi Sel Kanser prima perlu dibuang dengan segera. Sangat penting utk pesakit kanser menerima rawatan yg tepat dlm kadar segera.

We Can I Can!

bersama Pakar Kanser Wanita dr Hospital Sultanah Bahiyah. Dato Dr Rushdan (kanan saya)  dan kelihatan dlm gambar my onko my junior SEMSAS Dr Ismail  (kanan gambar)

ADAKAH GULA MENYEBABKAN KANSER ?

Salam .. hari ini saya nak kongsikan catatan blog  yang ditulis oleh (my gynae-onco) YBhg. Dato Dr  Rushdan Noor   Pakar Kanser Wanita da...