24 Mei 2017

ADAKAH GULA MENYEBABKAN KANSER ?


Salam .. hari ini saya nak kongsikan catatan blog  yang ditulis oleh (my gynae-onco) YBhg. Dato Dr Rushdan Noor Pakar Kanser Wanita dari Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar Kedah.

Penulis telah merawat ramai pesakit kanser dan telah berjumpa pelbagai kes Kanser.  Antara punca kegagalan sembuh kanser adalah disebabkan Pesakit Kanser tidak serius dan takut menjalani rawatan perubatan yg telah disahkan oleh Pakar Perubatan di seluruh dunia. Ramai yg suka menangguhkan rawatan kerana kononnya terdapat Rawatan Alternatif yg mampu menyembuhkan kanser.



Gula adalah karbohidrat yang diperlukan oleh sel-sel badan bagi tujuan menghasilkan tenaga. Jika gula diperlukan oleh sel-sel yang normal, maka gula juga diperlukan oleh sel-sel yang tidak normal termasuk sel-sel kanser. Walau bagaimanapun persoalannya adakah dengan menghapuskan gula daripada badan anda, anda boleh mematikan sel-sel kanser. Sebenarnya jika badan tidak mendapat bekalan gula yang mencukupi ia akan menyebabkan kekurangan gula yang dinamakan hipoglisaemia dan ini boleh menyebabkan kematian. Apabila badan tidak dibekalkan dengan cukup gula, sumber tenaga akan diambil daripada lemak dan protin. Pemecahan lemak dan protin boleh menyebabkan badan berada di dalam keadaan yang dikenali sebagai ketosis. Asid di dalam badan meningkat dan ini boleh memudaratkan. Pendek kata, dengan menafikan bekalan gula kepada badan anda, ia boleh memudaratkan semua jenis sel.




Kaitan di antara gula dengan kanser adalah secara tidak langsung. Pengambilan gula yang berlebihan boleh menyebabkan kegemukan dan kegemukan dikaitkan dengan banyak jenis kanser. Pakar pemakanan daripada MD Anderson’s Cancer Prevention Center berkata bahawa badan anda menggunakan gula untuk fungsi banyak organ badan, tetapi mengambil gula yang terlalu banyak boleh menyebabkan kegemukan dan ini jika digabungkan dengan sikap kurang bersenaman boleh meningkatkan risiko menghidap kanser.

Jadi apa yang lebih utama adalah mengambil gula pada kadar yang betul. Kaum wanita memerlukan tidak lebih daripada 25 gm gula (6 sudu teh), manakala kaum lelaki pula tidak lebih daripada 37 gm (9 sudu teh) setiap hari. Kuantiti ini bersamaan dengan 100 kalori tenaga untuk wanita dan 150 kalori untuk lelaki.

Perlu diingat bahawa gula juga terdapat di dalam sos, makanan yang diproses, buah-buahan manis dan lain-lain.

Untuk mengetahui berapa kuantiti gula yang diambil, anda hendaklah membiasakan diri untuk membaca kuantiti gula dan kalori yang terdapat pada label produk makanan. Anda akan terkejut dengan kandungan gula yang tersembunyi.

Terdapat juga makanan bergula yang tidak tercatit perkataan gula pada senarai ingrediennya. Sebenarnya gula juga terdapat di dalam fruktos (gula semulajadi daripada buah-buahan), Laktos (gula semulajadi daripada susu), sukros (diperbuat daripada gabungan fruktos dan glukos), maltose (gula daripada bijirin), glukos (gula ringkas hasil daripada fotosentesis) dan dektros (gula daripada glukos).

Gula semulajadi seperti molasses, madu dan sirup mapel juga mengandungi antioksidan yang dapat memberi perlindungan tambahan ke atas tubuh badan anda. Walaupun ianya adalah pilihan gula yang baik tetapi ia juga mengandungi kalori seperti gula-gula yang lain. Jadi anda masih perlu mematuhi had pengambilan gula yang ditetapkan setiap hari.

Pengambilan pemanis tiruan adalah kontroversial kerana ahli sains mempunyai pendapat yang berbeza. Pemanis tiruan memberi kesan manis tetapi mengandungi kalori yang rendah. Walaupun ada kelebihan tetapi terdapat risiko sampingan yang dibawa oleh pemanis tiruan ini. Perbincangan yang panjang mengenai pemanis tiruan ini ada di dalam rencana tulisan saya yang lalu.

KESIMPULAN

Tubuh badan manusia memerlukan gula untuk pelbagai fungsi organ badan terutamanya sebagai sumber tenaga. Semua jenis sel-sel di dalam badan memerlukan gula termasuk sel-sel yang tidak normal. Gula adalah sebahagian daripada makronutrin yang diperlukan sebagai sumber tenaga. Pengambilan gula yang berlebihan boleh menyebabkan kegemukan dan ini boleh mendedahkan badan kepada pelbagai jenis masalah kesihatan termasuk kanser. Jadi hubungan di antara gula dengan kanser sebenarnya bukanlah hubungan langsung sebaliknya hubungan yang tidak langsung. Di sebaliknya pula, pengurangan gula yang keterlaluan boleh memudaratkan. Pengambilan gula pada kadar yang diperlukan adalah sebahagian daripada prasyarat kepada pemakanan yang seimbang dan ini tentu dapat menyumbang kepada kesihatan badan yang optima termasuk menghindarkan diri daripada penyakit-penyakit kronik termasuk kanser.


Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Hospital Sultanah Bahiyah

18 Mei 2017

zuraini kongsi rahsia `bebas kanser'


KEHIDUPAN manusia di dunia ini pastinya akan melalui pelbagai keadaan. Ada masa senang dan adakalanya sukar. Ada saatnya sihat dan ada masa akan jatuh sakit. Dan semua hal tersebut adalah sunnatullah yang terpaksa kita hadapi.
Namun sebagai umat Islam kita juga harus percaya, tidaklah Allah menciptakan suatu penyakit kecuali dia juga menciptakan penawarnya. Hal ini sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW:
“Tidaklah Allah menurunkan penyakit kecuali Dia juga menurunkan penawarnya.” (HR Bukhari).

2012  saya adalah cancer survivor
Tarikh 5 Mac 2012 menjadi tarikh yang akan sentiasa dikenang Zuraini Kamal, ibu kepada tiga cahaya mata ni apabila dia didiagnos menghidap kanser endometrium (dinding rahim) peringkat awal jenis G3 iaitu sel kanser bersifat agresif!
Dalam kepala dia cuma terfikir masih belum bersedia untuk memejamkan mata buat selamanya. Wanita ini juga sedar dia masih punya banyak tanggungjawab dan terlalu sedikit amalannya sebagai bekalan menuju alam abadi!
Namun dia sedar bahawa dia masih ada pilihan sama ada berjuang untuk hidup atau mahu berserah menunggu mati!
Ketika itu baru dia sedar bahawa iman yang dimiliki cuma senipis kulit bawang dan kekuatannya terbang entah ke mana.
Tiga bulan lamanya dia tidak ketawa dan hampir lupa untuk tersenyum. Sehingga terpaksa mendapatkan bantuan  perubatan untuk membantu kekuatan emosi dan mengelakkan  kemurungan dan akhirnya mentalnya kembali kuat.
“Alhamdulilah selepas pembedahan saya pulih dengan begitu pantas kerana menurut doktor saya memiliki mental yang positif.
“Tidak sampai sebulan selepas pembedahan saya sudah boleh memandu dari Jitra ke Sungai Petani.
“Sebagai pesakit kanser, paling utama kekuatan mental dan spiritual selain kekuatan fizikal. Ubat dan rawatan adalah bantuan dan jika tubuh kita tidak bersedia, pemulihan lambat berlaku.
Tambahnya lagi, prosedur radioterapi tidaklah seteruk yang digambarkan.
“Ketakutan dan kebimbangan yang keterlaluan sebenarnya yang menyebabkan kita hilang selera makan, kurang tidur dan adakalanya muntah-muntah dan cirit-birit.
“Saya ingin katakan ia bukan sekadar simptom radioterapi sebaliknya kecelaruan emosi. Jadi penting untuk kita untuk memiliki mental yang benar-benar kuat, ujarnya yang turut menjalani radioterapi sebanyak 25 kali.

Terlalu pentingkan kesempurnaan
 Saya akui diri ini seorang yang terlalu mementingkan kesempurnaan dalam pekerjaan. Saya tidak suka dan jarang sekali melakukan kesilapan. Saya terlalu kuat berkerja hinggakan saat tidur pun saya boleh lagi berfikir.
“Saya paling suka mencabar diri dan hidup saya sentiasa dalam keadaan stres yang sangat tinggi.
“Prestasi kerja saya sangat bagus bila saya push diri saya ke tahap maksimum. Namun saat jatuh sakit baru saya sedar tindakan saya selama ini adalah salah.
aku ingin hidup: meraikan majlis perkahwinan anaknda yg sulong November 2015

“Kita tidak boleh terlalu memaksa diri hingga biarkan tubuh kita stres.
“Selepas didiagnos kanser saya belajar untuk cool down, semuanya dilakukan secara teratur. Bercakap juga kena perlahan-lahan dan amalkan pernafasan yang betul. Itulah yang dinamakan gaya hidup sihat. Semua tu nabi kita dah pesan tapi kita tidak mahu ikut.
“Saya juga penggemar makanan bergula terutamanya kek, coklat dan aiskrim dan kebetulan saya juga seorang pengusaha kek. Malahan sejak kecil juga saya penggila gula-gula kapas. Saya juga peminum teh o tegar.
“Mungkin faktor-faktor tersebut iaitu stres terutamanya ditambah pula faktor genetik menjadi penyumbang kepada punca saya menghidap penyakit ini.
“Lepas didiagnos kanser, saya kurangkan makanan bergula bukan saja sebab takutkan kanser tetapi takut dihinggapi diabetes.
“Saya tidak lagi ambil teh o sebaliknya saya gantikan dengan teh hijau.
“Mengikut pengalaman saya, teh hijau memberi efek penenang tanpa kita perlu bergantung pada ubat penenang dan sebagainya. Sebagai pesakit kanser, tidak dinafikan kadar stres berada dalam tahap tinggi. Prosedur hospital, follow up dan pelbagai rutin lagi buatkan kita semakin tertekan,”ujarnya.
bersama meraikan Larian Kanser anjuran Jabatan Gynae Onkologi Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar
Tingkatkan pengambilan vitamin C
 “Sejujurnya saya mula ubah diet dengan mengelakkan makanan yang mengandungi growth factor dan mementingkan pengambilan antioksida seperti buah beri. Ini kerana kanser sukar membiak dalam persekitaran tersebut.
“Saya memastikan makanan yang masuk ke mulut adalah makanan yang dimasak sendiri menggunakan bahan segar yang telah dinyahtoksik selain menggunakan bahan-bahan organik dan garam bukit.
Begitu juga dengan pengambilan vitamin C turut ditingkatkan bagi membantu meningkatkan imuniti.
“Sebagai pesakit kanser endometrium doktor menasihatkan untuk mengelakkan terus makanan berassakan soya kerana ia berisiko meningkatkan kanser payudara.
“Saya masih makan daging tapi dalam kuantiti yang sangat kecil. Hinggakan semasa pergi kenduri, kerana terlalu teringin, saya cuma kunyah dan membuangnya.
“Tolong ubah stigma yang melekat dalam masyarakat iaitu kanser membawa maut,”tegasnya yang turut mengamalkan minum air zam-zam dan juga air beralkali.
grup Cancer Survivors Malaysia sebuah wadah kumpulan sokongan alam maya
NOTA
* Puan Zuraini kini  bebas kanser dan kembali menjalani kehidupan normal. Beliau aktif menulis dan berkongsi pengalaman serta memberikan panduan dan nasihat dalam blog beliau di tinta-zue.blogspot.com. Beliau juga telah menubuhkan sebuah kumpulan sokongan alam maya Cancer Survivors (Malaysia), sebuah wadah khusus untuk pesakit kanser dan penjaga berkongsi pengalaman sebenar  serta ruang untuk meluahkan emosi kepada rakan senasib.

ADAKAH GULA MENYEBABKAN KANSER ?

Salam .. hari ini saya nak kongsikan catatan blog  yang ditulis oleh (my gynae-onco) YBhg. Dato Dr  Rushdan Noor   Pakar Kanser Wanita da...